Kolej Antarabangsa Unifield telah melakar sejarah apabila buat julung kalinya mengadakan kerjasama pendidikan bersama pusat pengajian tinggi awam Indonesia, Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Sulthan Thaha Saifuddin, Jambi bagi membolehkan pelajar lepasan Diploma Unifield melanjutkan pengajian mereka di sana. Bagi memeterai perjanjian persefahaman tersebut, satu Majlis Menandatangani Memorendum Persefahaman (MOU) telah diadakan pada 14 November 2016 lalu di Kampus Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Sulthan Thaha Saifuddin sendiri iaitu di Jambi, Indonesia.

 

Salah seorang pengasas UIC, Mohd Abrar Amin, berkata pemilihan IAIN Sulthan Thaha Saifuddin sebagai rakan kerjasama pendidikan adalah merupakan satu tindakan yang tepat kerana sistem pendidikan di sana adalah berkualiti, selain kos kehidupan yang berpatutan sangat memberi manfaat kepada para pelajar untuk meneruskan kelangsungan hidup sepanjang mereka melanjutkan pengajian.

Dalam majlis menandatangani MOU tersebut, UIC diwakili oleh Ketua Eksekutif, Puan Rohana Rahmat dengan diiringi wakil delegasi UIC yang lain. Manakala dipihak IAIN Sulthan Thaha Saifuddin, Rektor Institusi, Dr. H. Hadri Hasan; Timbalan Rektor Kemahasiswaan dan Kerjasama, Dr. Fadhlilah serta disaksikan oleh dekan-dekan dari setiap fakulti.